Mengungkai Makna Falsafah Pendidikan Negara : Intelek

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

1. Pada hari ini, dunia pendidikan di Malaysia telah beralih dengan pesat dari aspek pendekatan, model pengajaran mahupun bahan pengajaran. Perubahan ini selaras dengan dasar pendidikan nasional untuk menjadikan murid sebagai modal insan yang serba boleh tanpa mengabaikan falsafah pendidikan negara. 

2. Dalam falsafah pendidikan negara, dinyatakan bahawa pendidikan bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi bagi mendukung citra negara bangsa Malaysia(1). 

3. Bagi melahirkan murid yang serba boleh dan seimbang, perlu kita lihat maksud kedua-dua istilah ini. Serba dimaksudkan dengan segalanya, kesemuanya dan seimbang bermaksud sama berat (2). Niat murni pihak Kerajaan dalam melahirkan modal insan ini selari dengan keadaan pendidikan global. 

4. Apakah keperluan dalam aspek intelek? Menurut falsafah pendidikan, intelek merangkumi aspek hikmah iaitu ilmu yang membawa kepada kemakmuran, daya pemikiran yang kreatif dan inovatif, daya pemikiran yang analitik dan logik dan ilmu yang bermanfaat. 

5. Menurut M Adnan (2010), intelek ditafsirkan sebagai mempunyai kemahiran 3M iaitu menulis, mengira dan membaca, sering berusaha untuk memperoleh dan mengembangkan ilmu yang benar, berkemahiran berfikir secara kreatif kritikal dan reflektif, sanggup berkongsi pengetahuan bersama orang lain, mencintai keilmuan, berusaha memupuk budaya ilmu dan budaya membaca dan mempunyai pemikiran yang terbuka (3). 

6. Berdasarkan hieraki, intelek merupakan perkara pertama yang dirangka dalam falsafah pendidikan negara. Perkara ini menunjukkan bahawa betapa penting intelektual itu dalam diri seorang manusia yang tunjangnya bermula daripada kewarasan akal manusia

7. Kewarasan akal manusia bermaksud pemikiran manusia yang sering memikirkan tentang kebesaran Tuhan dan hikmah kejadian alam semesta disamping membuat pertimbangan antara kebaikan dan keburukan bagi menjalani kehidupan yang teratur dan harmoni (4).

8. Dengan kewarasan akal, manusia dapat mengelakkan perkara-perkara negatif meresap dalam diri sendiri dan mengelakkan daripada tular dalam sebuah komuniti yang harmoni. Oleh yang demikian, manusia akan sentiasa hidup dalam keadaan yang harmoni hingga akhir hayat mereka. 

9. Walaubagaimanapun, dalam anatomi manusia, kita sering menghadapi pelbagai situasi kesihatan seperti demam, sakit mahupun batuk-batuk. Tidak sepanjang kehidupan kita akan sentiasa sihat sahaja dan perkara ini berpunca daripada virus yang bertebaran dalam tubuh badan kita. 

10. Mengambil kira kejadian yang berlaku, kita akan mula memikirkan langkah pencegahan supaya tubuh badan tidak terus sakit dan pada masa yang sama tubuh badan kita sendiri sedang membina pertahanan tubuh badan kendiri. 

11. Perkara ini dapat dikaitkan dengan pengabdian diri kepada Tuhan yang telah menurunkan bencana untuk memberikan kita pemikiran reflektif tentang perkara yang menjurus kepada kesakitan dan pemikiran logik terhadap sebab dan pemikiran kreatif untuk mencegah ia berlaku kembali. 

12. Untuk mengaitkan dengan situasi pendidikan semasa dan hasil-hasil modal insan dalam dunia pendidikan, kita dapat lihat terdapat ruang-ruang kosong yang menyebabkan intelektual manusia tidak memenuhi keperluan falsafah pendidikan negara. 

13. Kegagalan penduduk asal negara untuk menguasai kemahiran 3M menyebabkan murid-murid ini sukar untuk memahami dan menilai secara logik dan analitik terhadap sesuatu perkara yang diagendakan oleh pihak-pihak tertentu. Kegagalan penguasaan kemahiran 3M tidak boleh dinilai dari aspek demografi kerana terdapat murid-murid dalam bandar masih tidak menguasainya. 

14. Tanpa intelek yang baik, murid-murid khususnya penduduk asal negara lalai dalam dunia hiburan dari usia muda hingga tua yang akhirnya merugikan aset untuk jangka masa panjang. Hal ini berlaku kerana kemalasan mereka untuk memaksimumkan penggunaan akal dan terlalu lama berasa selesa dalam zon selesa mereka. 

15. Amat sedih bagi penduduk asal negara yang malas untuk membaca khususnya bahan ilmiah menyebabkan perbendaharaan kata yang terbatas dalam bahasa ibunda apatah lagi untuk menguasai bahasa kedua adalah sukar. Perkara-perkara ini harus dilihat oleh semua pihak bagi memastikan generasi alpha yang dilahirkan adalah generasi yang berilmu, berkemahiran dan pada masa yang sama tidak menolak fitrah dan keberserahan kepada Tuhan. 

Sekian, Terima Kasih

Rujukan 
1. http://web.jiaozong.org.my/doc/2009/rnr/edu_law/falsafah_pendidikan_negara.pdf
2. http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=seimbang
3. Adnan, M., & Hamzah, R. (2010). Implikasi falsafah pendidikan kebangsaan dalam pendidikan teknik dan vokasional di Malaysia. edupress 2010.
4. http://dar-diyalna.blogspot.com/2012/06/pemeliharaan-akal.html

Comments

Popular Posts