CATATAN : Cerita Pendidikan Dulu-dulu

Assalamualaikum dan salam sejahtera, 

1. Guru adalah insan yang mengajar. Secara luasnya, semua orang menjadi guru namun dari segi keilmuan, guru mengajar sesuatu perkara yang bermanfaat untuk diri yang diajar. Keilmuan dapat digunakan oleh anak murid untuk memajukan diri dan masyarakat.

2. Pada hari ini, skop makna guru adalah lebih fokus kepada guru mengajar di sekolah, kolej atau universiti yang digelarkan dengan pelbagai nama. Namun konsepnya masih setara iaitu mengajar untuk menyampaikan ilmu. 

3. Dahulu guru mengajar di dalam bilik darjah sahaja. Tidak stres dengan bidang pengkeranian, aktiviti-aktiviti audit dan menyokong setiap dasar yang diperkenalkan oleh pihak Kerajaan. Guru akan masuk ke sekolah pada jam 7.30 pagi dan pulang pada jam 1.10 tengah hari. 

4. Jika melihat pada cerita Allahyarham P.Ramlee dalam cerita masam-masam manis, tugas guru pada masa dahulu lebih sebagai guru sebagai pembekal ilmu dimana guru menulis maklumat dan murid mengulang-ulang sehingga seluruh kelas selesai. Apa yang berlaku ialah kuantiti ilmu yang diterima oleh murid, jika banyak keilmuan atau maklumat, banyak juga ilmu yang diterima oleh mereka.

5. Pengalaman dahulu juga dapat dirasai oleh setiap murid yang lahir pada tahun 80 dan 90-an. Mereka tidak terdedah kepada maklumat yang banyak dan luas. Cuma pada masa itu, buku-buku rujukan telah banyak diterbitkan oleh penerbit-penerbit buku bagi memenuhi keperluan ilmu murid-murid. 

6. Masih teringat ketika dibangku persekolahan, murid-murid hanya belajar dalam bilik darjah hampir setiap matapelajaran kecuali matapelajaran Kemahiran Hidup dan Sains. Jarang-jarang sekali keluar dari bilik darjah untuk belajar. 

7. Penumpuan terhadap pencapaian adalah jelas dimana pendidikan tersebut digelar sebagai pendidikan 1.0. Guru akan mengajar mengikut topik dan murid akan menjawab soalan peperiksaan. Penentuan kejayaan pengajaran dan pembelajaran adalah ketika peperiksaan besar iaitu UPSR, PMR atau SPM. 

8. Mereka akan diberikan peluang yang cerah dan bertuah kerana ditempatkan di sekolah-sekolah berstatus asramah penuh. Bagi yang tidak berjaya, mereka memilih untuk belajar di sekolah menengah biasa atau berhenti sekolah sahaja bagi membantu perbelanjaan keluarga. 

9. Silibus pada ketika itu tidak begitu rumit dan lebih mendedahkan kepada keperluan kemahiran asas dalam semua matapelajaran. Guru juga hanya membuat rujukan dalam buku teks sahaja. Bagi guru yang punya insiatif, ia adalah BONUS kepada kerjaya sebagai seorang guru. 

10. Jika ditulis kenangan ketika di bangku persekolahan memang tidak terkira banyaknya. Walaubagaimanapun, era pendidikan 4.0 lebih ke hadapan dalam membantu pencapaian murid dari aspek akademik mahupun keyakinan murid dalam menerobos dalam masyarakat 4.0 . 

Kesimpulannya, pendidikan pada era 80-90an adalah era penerokaan oleh pihak kerajaan dalam mengenal pasti keperluan pendidikan kepada Masyarakat Malaysia. Tanggungjawab guru yang berfokus di dalam bilik darjah hanya memberi tumpuan dalam aspek pencapaian dalam akademik. Murid yang berjaya dalam akademik mereka akan diberi peluang yang cerah bagi menduduki jawatan-jawatan penting dalam sektor awam mahupun swasta. 

Comments

Popular Posts