CATATAN : Detik-detik akhir

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

1. Minggu hadapan, murid-murid tahun 6 seluruh Malaysia akan menduduki peperiksaan 'besar' dalam hidup mereka iaitu peperiksaan UPSR. Sedar atau tidak, peperiksaan ini amat menakutkan guru-guru matapelajaran sekiranya keputusan yang muncul tidak menepati KPI. 

2. Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak sekolah dan ibubapa sepanjang pembelajaran mereka dalam darjah 6. Di sekolah, mereka belajar dalam waktu primier, ada kelas tambahan, kelas kuarantin, kelas malam. Pada pihak ibubapa, mereka mengeluarkan 'dana' untuk anak-anak mereka ini dari segi buku rujukan, kelas-kelas tambahan, bengkel-bengkel menjawab soalan malah mengupah guru pakar untuk mengajar mereka. 

3. Jika dilihat dari garis waktu mereka, sesi pembelajaran bermula pada jam 7.20 pagi dan tamat pada jam 1.10 petang. Tambahan kelas tambahan yang bermula pada jam 1.10 sehingga 2.10 petang. Kelas sekolah agama bermula pada jam 3.30 dan tamat pada jam 6.30 petang. Bersambung pula kelas tuisyen yang selalunya bermula jam 8.00 hingga 10.00 malam. Persoalan yang akan muncul, adakah mereka punya masa untuk membuat ulang kaji?

4. Mungkin ada pandangan, mereka perlu merancang masa belajar mereka supaya ulang kaji dan kerja sekolah dapat diselesaikan. Namun, sebagai dewasa kadang kala kita gagal mengurus masa dengan baik. Apakah kita mampu menjadi teladan kepada anak-anak jika kita sendiri tidak mampu menyusun masa dengan baik?

5. Saya sempat bertanya dengan murid akan keadaan mereka dari segi perasaan, fizikal dan mental. Rata-rata menunjukkan riak wajah yang meletihkan dan ada yang mula punya tanda panas badan. Masalah kesihatan juga amat merungsingkan kerana kesihatan yang tidak baik akan memberikan kesan terhadap fokus menjawab soalan. 

6. Perasaan mereka juga kurang seronok untuk belajar kerana kurang memenuhi keperluan mereka. Motivasi yang rendah akan menyebabkan mereka tidak seronok dan memberi kesan terhadap pencapai mereka. Dalam situasi begini, guru-guru seharusnya menurunkan darjah stress dalam kelas supaya mereka kekal bermotivasi untuk belajar. 

7.  Mengikut kata-kata guru dari Finland, mengukur murid dari segi statistik akan mengurangkan aspek kemanusiaan murid. Kata-kata ini seperti benar berlaku kepada murid-murid di sini. Kebanyakkan murid yang dilebelkan 'pandai', 'kelas satu' dan 'pintar' ini biasanya KURANG AJAR dan HILANG HORMAT khususnya kepada GURU. 

8. Dengan melaksanakan pembelajaran menggunakan komputer atau internet, perkara ini dilihat mampu mengurangkan stress murid untuk belajar. Selain itu, mereka dapat melahirkan perasaan gembira untuk bersosial dan berkomunikasi dan guru juga tidak 'penat' untuk marah-marah jika tugasan yang diberi tidak diselesaikan dengan baik. 

9. Melihat dari kanta mata seorang murid, saya juga pernah mengalami situasi yang sama. Namun, keputusan begitu tidak memuaskan dan perkara ini amat menyedihkan setelah 'dana' yang dikeluarkan ibubapa tidak berbaloi. Perkara yang lebih buruk berlaku ketika pos-UPSR, perasaan terasing, dimalukan, dimarah oleh mulut-mulut ghaib menyebabkan murid lebih stress. Murid seusia 12 tahun seharusnya tidak perlu menanggung perasaan ini keterlaluan. Adakah sanggup melihat mereka sentiasa hilang yakin terhadap komuniti sosial kelak?

10. Peperiksaan UPSR adalah peperiksaan yang menguji kemampuan murid dan usaha murid sepanjang pembelajaran di peringkat rendah. Peperiksaan ini seharusnya tidak perlu menjadi fokus kerana GURU perlu menyeimbangkan PERKEMBANGAN MURID dari aspek JASMANI, ROHANI, EMOSI, INTELEK DAN SOSIAL. Ketidak seimbangan yang berlaku menyebabkan hilang rasa kemanusiaan  yang disemai dari kecil lagi. 

Sekian, Terima Kasih

Comments

Popular Posts