CATATAN : Peningkatan Keilmuan
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
1. Pada hari ini, peluang-peluang untuk menyambung pembelajaran diperingkat tinggi sangat terbuka dari peringkat rendah hingga peringkat tertier. Peluang-peluang yang disediakan bertujuan untuk memastikan keilmuan yang dipelajari dapat diguna pakai bagi mempertingkatkan mutu pengajaran di sekolah khususnya guru-guru.
2. Guru-guru yang dilatih di maktab-maktab perguruan telah dibekalkan dengan keilmuan tentang pedagogi dan metodogi keguruan bagi menghadapi murid-murid. Malahan, mereka juga diberi pendedahan dengan diadakan praktikum dan interim sebagai pengalaman pengajaran sebelum berginjak ke alam sekolah yang sebenar.
3. Walaubagaimanapun, apabila selesai bergraduasi dari institusi tersebut, keilmuan akan terus berkembang dalam arus perdana mengikut peredaran semasa yang pesat. Jika kita digembar gembur tentang pendidikan 4.0 atau revolusi industri 4.0 pada 2018, alangkah terkejut jika kita membaca dilaman web yang menyatakan revolusi industri ini sebenarnya diperkenal pada tahun 2011 dan dikembangkan pada 2012!
4. Kemunduran pendidikan yang berlaku menyebabkan pendidikan di negara kita tidak dapat mencabar sektor pendidikan di negara lain sedangkan kita mempunyai institusi-institusi yang berprestij khususnya fakulti pendidikan. Saya percaya pensyarah yang mengajar di IPTA seluruh Malaysia mahukan pelajarnya menguasai keilmuan seperti guru-guru juga namun pendekatan yang berbeza diimplemtasi di IPTA.
5. Sepanjang pengajian di IPTA, begitu berbeza dari segi penyampaian dan pencari ilmu. Bagi melaksanakan tugasan, amalan citation adalah perlu bagi melengkapkan penulisan kerja kursus bagi setiap subjek dan perlu ditulis bibliografi mengikut APA. Pembelajaran softskill ini menjadikan kita sentiasa berusaha untuk mendapatkan pengetahuan yang bersifat jitu dan saintifik.
6. Pengetahuan yang diperolehi guru seharusnya digunakan bagi menambahbaik dan menyumbang keilmuan mereka mengikut bidang masing-masing. Namun, perkara ini seakan-akan tidak mendapat sambutan yang menggalakkan daripada guru-guru malahan mutu pengajaran langsung tidak menunjukkan perubahan dan memilih untuk mengajar secara tradisional.
7. Saya pernah mempromosikan iklan kepada guru-guru untuk menyambung pengajian diperingkat sarjana atau Phd khususnya di sekolah rendah. Terdapat juga iklan yang dipaparkan dalam halaman rasmi PPD dan setakat hari ini hanya 2 universiti yang mewar-warkan tentang hal ini. Namun, tiada sambutan yang diterima oleh pihak universiti, namun, saya pasti ada guru yang berniat untuk menyambung.
8. Rata-rata apabila ditanyakan apakah mungkin mereka akan menyambung pengajian, jawapan mereka adalah 'tidak 'atau 'belum lagi'. Perkara tunjang yang menjadi penghalang adalah komitmen keluarga dan anak-anak. Itu tidak termasuk yuran pengajian yang tinggi yang sering diperkatakan. Walau apapun masalah yang berlaku, saya menghormati keputusan mereka kerana setiap orang memiliki masalah tersendiri yang harus diselesaikan mengikut ilham sendiri.
9. Walaubagaimanapun, jika ditanya kepada saya, banyak perbezaan belajar di Maktab dan IPTA. Jika ditanyakan, apakah kenangan ketika di IPTA, terlalu banyak perkara yang menarik yang masih saya ingat. Malahan saya masih ingat akan nama pensyarah yang mengajar ketika di situ. InsyAllah akan saya ceritakan dalam post akan datang.
Kesimpulannya, menjadi guru memerlukan Passion untuk mencari ilmu yang luas dan terbuka peluangnya. Mengambil kesempatan terhadap masa dan kewangan untuk mencari ilmu berkaitan dengan bidang adalah laba yang besar untuk masa depan guru. Guru yang baik akan sentiasa belajar dari kesilapan. Guru yang cemerlang akan sentiasa belajar, mencari dan menambahbaik pengajaran untuk kepentingan anak didik bangsa.
Sekian, terima kasih.


Comments
Post a Comment