Genap 9 bulan
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
1. Hari ini genap 9 bulan sesi pengajaran guru dan pembelajaran murid. Bulan Oktober tiba dengan suasana baharu khususnya di sekolah rendah. Suasana lebih tenang dan pagi Ahad hadir dengan cerah dan terang. Hari permulaan minggu, khususnya selepas UPSR, kadar bilangan murid yang hadir adalah berkurangan. Alhamdulilah, perkara itu tidak berlaku di sini.
![]() |
| Murid Tahun 6..tak ramai tapi kami ada. :) |
2. Sepanjang menunggu keputusan UPSR dihantar ke sekolah, mereka akan melaksanakan aktiviti-aktiviti selepas UPSR yang merangkumi semua subjek. Namun, bagi matapelajaran teras, mereka boleh menghembus nafas lega kerana subjek-subjek itu tidak akan diuji dalam peperiksaan akhir tahun.
3. Kedengaran suara tawa-ria keriang, tersenyum wajah anak-anak tahun 6 ketika bersukan. Maklumlah setelah beberapa minggu menghadap kertas latihan, inilah masa untuk bersuka ria. Hanya tiga minggu sahaja sebelum menduduki peperiksaan akhir tahun untuk subjek elektif.
![]() |
| Jangan salah pandang ye...itu kaki betul. |
4. Mengajar murid-murid satu matapelajaran teras iaitu Bahasa Melayu dan satu matapelajaran elektif iaitu TMK dan RBT, memerlukan pandangan yang lebih jauh. Tidak terhenti sekadar di dalam kertas sahaja, tetapi lebih daripada itu. Perkara ini untuk mendukung agenda pendidikan negara iaitu Pendidikan 4.0.
5. Untuk matapelajaran Bahasa Melayu, seperti yang dirancang, mereka akan melaksanakan permainan bahasa. Namun, saya memilih untuk menggunakan teknologi untuk subjek ini. Mereka didedahkan dengan langkah mendaftar e-mail melalui laman web. Sebelum ini, mereka hanya menggunakan e-mail yang disediakan oleh pihak Frog VLE.
6. Agak malang murid-murid ini tidak mendaftar pada usia 12 tahun kerana mengikut regulasi internet, bagi mendaftar e-mail umur minimum adalah 14 tahun mengikut kawasan Asia. Perkara ini membuatkan saya tertanya-tanya, apakah silibus TMK tahun 5 ini rasional untuk diajar kerana terdapat regulasi ini?
![]() |
| Bila tengok komputer, comfirm tak pandang tepi! |
7. Melalui e-mail yang dibekalkan, mereka cuba untuk mendaftar ruang blog peribadi. Bermula dengan pendaftaran, pengesahan sehingga pemilihan templat, ia adalah sebuah perjalanan yang panjang. Pembelajaran praktikal dan bahasa diajar supaya pengetahuan terhadap bahasa tidak terhenti selepas tamat peperiksaan.
8. Mengapa menulis blog? Menulis adalah kemahiran bahasa yang paling sukar untuk dikuasai kerana ia melibatkan daya pemikiran kritis dan kreatif serta kemahiran membaca. Tanpa kedua-dua perkara ini, penulisan sesorang tampak bosan dan tiada pengembangan kandungan. Sekali gus, mempamerkan kelemahan sesorang dalam aktiviti bahasa.
9. Apabila direnungkan, apakah kita perlu lupakan kemahiran-kemahiran yang telah mereka pelajari sekarang? Pada pendapat saya, kemahiran ini perlu diteruskan dan dirangsang secara berterusan sama ada di rumah atau di sekolah. Hal ini kerana kebanyakan penulis masa kini lebih memilih genre fiksyen untuk menulis dan sangat kurang yang menulis karya non-fiksyen atau bahan sastera. Kita perlu lahirkan modal insan yang menulis tentang perkara-perkara kritikal.
10. 9 bulan yang berlalu pasti meninggalkan kenangan yang mendalam terhadap diri mereka. Ini adalah titik permulaan untuk meneroka ke alam remaja. Pendidikan bukan sahaja melihat keputusan peperiksaan malahan kemahiran-kemahiran tambahan menjadi bonus kepada mereka untuk ke hadapan.
Kesimpulannya, kemahiran-kemahiran khususnya dalam matapelajaran teras perlu diteruskan dalam bentuk yang lebih luas dan terbuka. Penggunaan teknologi membolehkan mereka melahirkan pandangan atau perasaan terhadap sesuatu perkara. Tanpa kemahiran berbahasa yang baik, dikhuatiri penyampaian mesej akan gagal diterima oleh orang ramai.
Sekian, terima kasih.




Comments
Post a Comment