Kelas Memasak

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

1. Apabila saya memberitahu aktiviti memasak akan dilaksanakan, mereka bersorak kegembiraan. Suasana seperti meraikan keraian apabila diberitahu sedemikian. Maka mulalah masing-masing mahu memasak masakan yang pelbagai. Ada yang mahu masak kek, nasi goreng, mee goreng, nasi ayam, ayam masak lemak dan lain-lain.

2. Maka saya menyelak halaman modul dan muncul resepi-resepi yang perlu diajar kepada mereka. Diberi pilihan, sama ada cup cake, mee hoon atau nasi goreng. Secara bulat suara, bersetuju untuk memasak nasi goreng. Mula saya membahagikan tugasan untuk membawa bahan-bahan yang diperlukan iaitu bawang besar, bawang putih dan telur. Bahan-bahan lain saya sediakan untuk mereka.

Semangat bangun awal sediakan bahan ngan alatan

3. Sehari sebelum, saya cuba untuk menghidupkan dua dapur yang sedia ada. Malangnya, tong gas yang disediakan hanya ada satu sahaja, tanpa membuang masa saya menghubungi pihak kedai. Untuk makluman, harga gas ganti adalah RM30 setong manakala RM120 untuk tong yang baharu. Walaupun agak mahal, memikirkan tentang keperluan masa akan datang, ia pasti berbaloi untuk dibeli. 

4. Maka bermula aktiviti ini pada hari esoknya. Bermula dengan menonton video memasak, slaid bahan yang diperlukan dan langkah memasaknya. Oleh kerana, dapurnya ada dua sahaja, maka dua kumpulan sahaja yang boleh dibentuk. Jadi bilangan ahlinya, 5 hingga 6 orang dan perkara ini perlu dipandu oleh guru kerana ia melibatkan penggunaan peralatan yang tajam, panas dan berat. 


Acara mengambil bahan-bahan untuk memasak.

Potong-potong dan lumat bahan-bahan

5. Selesai memotong dan menumbuk bahan-bahan, maka mulalah proses memasak. Minyak yang dibekalkan adalah mencukupi untuk menumis dan sepiring garam. Walaupun bekasnya besar, bukan bermaksud digunakan semua sekali, sekadar cukup rasa sudah baik. Semua peralatan dibasuh terlebih dahulu sebelum bahan dimasak. Ini merupakan langkah-langkah yang perlu diambil berat dan diterapkan sejak kecil supaya menjadi amalan ketika dewasa kelak. 

Semangat tu masukkan bahan-bahan dalam kuali.


Gaya dah ada tu...jangan lupa letak garam ye.

6. Ada yang request untuk menambah kuantiti nasi sebab rencahnya masih banyak. Permintaan mereka dipenuhi. Perkara ini dilihat sesuatu yang positif kerana mereka dapat membuat agakan tentang sesuatu perkara. Memaksimumkan penggunaan bahan adalah perlu supaya pembaziran dapat diminimumkan. 

7. Apabila nasi yang digaul itu rata dan cukup rasanya, maka selesai sudah aktiviti memasak. Kini mereka perlu menghias makanan dan menghidangkannya. Menggunakan 'Italian Salad', mereka menghias hidangan yang diletak dalam pinggan hidang. Bersungguh-sungguh menggayakan hasil masakan masing-masing. Secara tidak langsung, ia mencungkil kreativiti mereka dalam menghias hidangan. 

Berbincang nak hias macam mana.

Letak tomato elok-elok ye

8. Masa untuk menghidang dan mencuba masakan mereka. Kedua-dua kumpulan mempamerkan masakan mereka. Maka dipanggil guru-guru untuk mencuba. Kedua-dua kumpulan mendapat respon untuk tambah baik masakan mereka pada masa akan datang. Apabila semua guru dah cuba, giliran mereka untuk makan. 
Ustaz pun cuba...air tangan tahun 5

Masa untuk mencuba
Entah apa yang disembangkan tu...nak masak masakan lain ke?

Kesimpulannya, aktiviti amali atau melibatkan pergerakan psikomotor akan memberikan banyak manfaat kepada murid khususnya dalam membentuk budaya kerjasama dan komunikasi sihat. Melahirkan semangat kerjasama dan komunikasi berkesan amat penting dalam era 4.0 yang memerlukan hubungan kuat antara satu sama lain dalam merealisasikan suatu tujuan. Dengan menyediakan soft skill seperti ini dilihat memberi peluang kepada mereka untuk lebih menyerlah dalam bidang-bidang yang diceburi. Sekian, terima kasih. 

Hobi budak-budak zaman sekarang.















Comments

Popular Posts