Cerita Tanjung Piai

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Papan tanda pintu masuk Tanjung Piai
1. Salah satu lokasi yang perlu dilawati sama ada pengunjung luar atau dalam Johor ialah Tanjung Piai. Tanjung Piai ini terletak dalam daerah Pontian, Kalau kedudukannya terletak selepas Kukup. Kalau dari Bandar Johor Bahru, lebih kurang 45 minit untuk sampai ke situ. 

2. Kawasan parkir yang disediakan agak luas untuk kereta dan bas. Untuk masuk ke dalam, bayaran yang dikenakan adalah RM 5.00 untuk dewasa dan RM 3.00 untuk kanak-kanak. Ada juga harga untuk murid-murid. Jika ada anak usia bawah 6 tahun, boleh masuk secara percuma. Pelancong luar pula, lain harganya. 

Mercu tanda Tanjung Piai

3. Mula-mula sekali, pengunjung akan diberikan penerangan tentang tatacara ketika berada di situ. Makanan memang tidak dibenarkan dibawa bersama atas faktor kebersihan paya bakau. Selain itu, jika terjumpa monyet, kita dinasihatkan agar tidak memberi makanan atau memandang matanya dikhuatiri mereka akan bertindak agresif. 

4. Sekeliling kawasan tersebut disediakan pelantar kayu yang merentasi pokok-pokok bakau. Di situ terdapat papan nama yang menerangkan nama saintifik pokok tersebut. Jika menghala ke Jeti Tiga Negara, terdapat kawasan penanaman pokok bakau yang ditanam oleh pelajar-pelajar dan pegawai Majlis Agama Islam Johor. 

Pelantar laluan ke Jeti Tiga Negara


Tapak penanaman pokok bakau

5. Menurut pegawai bertugas, program ini telah lama dilaksanakan. Ia terbuka penyertaannya untuk pihak luar terutamanya murid-murid. Terdapat pelbagai aktiviti yang disediakan seperti semaian anak pokok, penanaman anak pokok dan membersihkan kawasan pokok bakau. Aktiviti-aktiviti ini memberikan kesedaran akan kepentingan menjaga alam sekitar terutamanya paya bakau. 

6. Bagi pengunjung yang gemar untuk mengambil gambar, terdapat beberapa lokasi yang boleh dituju dalam kawasan tersebut. Salah satunya ialah Jeti Tiga Negara. Dari jeti ini, kita dapat melihat kepulauan Karimun, Indonesia. Tetapi, bergantung pada keadaanlah sebab kawasan itu berhampiran dengan pelabuhan Tanjung Pelepas, maka yang kerap dilihat ialah kapal-kapal laut sahaja. 

7. Tempat lain ialah kawasan glob dunia. Apa yang menarik di sini? Kawasan ini adalah kawsan penghujung benua asia. Jika ke sini, wajib kita mengambil gambar sebagai kenangan. Sepanjang kawasan ini,  kita tidak boleh bersandar pada penghadang kerana kebanyakan penghadangnya adalah paip saliran air sahaja.

Jeti Tiga Negara


Jangan tak ambik gambar...kenangan tu

8. Selain monyet yang bergayutan dalam kawasan hutan, terdapat beberapa fauna lain seperti ketam dan ikan belacak. Kedua-dua haiwan itu boleh dilihat di kawasan pantai. Ada juga lokan dan siput yang terletak di kawasan lopak air dalam belukar tersebut. Ada pengunjung yang 'kering hati' menggunakan tangan untuk mengambil lokan dikawasan itu. Nak tahu apa haiwan tersebut? Boleh google, tapi lagi puas dapat tengok 'depan-depan'. 

9. Pada akhir perjalanan, kita akan melawat tempat anak pokok yang akan disemai. Apabila menuju kembali ke bangunan induk, di situ dijual cenderamata khas dari pihak Tanjung Piai. Jangan lupa ke kaunter tiket masuk untuk mendapatkan sijil rasmi berdaftar daripada pada pihak Hujan Negari Johor.

Ikan belacak...tengah bergaduh tu

Tadi ikan...ni ketam pulak yang gaduh

10. Secara keseluruhannya, ia mengajar kita tentang erti penghargaan terhadap ciptaan Tuhan. Kita tidak sanggup untuk hidup dalam kawasan yang lembap, berair dengan tanah lembut. Tetapi, Tuhan menetapkan ada flora dan fauna yang hidup di kawasan itu, malah mereka terus berzikir mengagungkan kebesaranNya. Sebagai manusia, apa yang kita mampu buat ualah terus menghargai dan bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan. 
Sekian, terima kasih.

Jangan cakap haiwan ni tak ada ye...












Comments

Popular Posts