Cerita Tentang Muhammad

Assalamualaikum dan salam sejahtera, 

1. Nama Muhammad kalau ditanyakan kepada kita pasti terus melekat di kepala kita tentang Nabi dan Rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad. Jika kita mengira usia mengikut tahun masihi, usia baginda adalah 1447 tahun! Bersempena dengan hari kelahiran Baginda yang jatuh pada 20 November 2018 ini, kita singkap detik kelahiran dan peristiwa kelahiran Nabi agung ini. Kita akan menyusuri lebih jauh tentang sejarah Baginda. 

Logo yang sering kita lihat 

2. Baginda lahir dari keturunan Quraisy yang lahir pada hari Isnin, 12 Rabiuawwal tahun gajah di Mekah. Jika tahun masihi ialah 20 April 571. Ibunya bernama Aminah binti Wahab, anak perempuan kepada Wahab bin Abdul Manaf dan ayahnya Abdullah anak kepada Abdul Mutalib. Susur galur keturunan dari Nabi Ismail, anak kepada Nabi Ismail dalam keturunan keempat puluh. Di namakan tahun gajah kerana ketika itu, tentera Abrahah dari Yaman datang untuk menyerang Kaabah. Sejarah ini termaktub dalam surah Al-Fill. 

3. Nabi lahir sebagai seorang anak yatim. Ayahanda baginda meninggal dunia dalam perjalan pulang selepas selesai berniaga dari Syam lalu singgah ke Madinah. Beliau jatuh sakit dan tidak lama meninggal di situ. Ketika peristiwa itu berlaku, Baginda masih dalam kandungan. Mengikut sumber umum, ayahanda Baginda meninggal dunia disebabkan diracuni oleh orang-orang Yahudi walaubagaimaanpun untuk mengetahuinya pembacaan lebih dalam harus dilakukan kerana ia berbentuk konspirasi. Ayahanda Baginda dimakamkan di rumah Al-Nabiyah-Ju'di pada usia 25 Tahun. 

Makam Ayahanda Baginda

4 Sepanjang baginda dalam kandungan bonda, terdapat 12 perkara besar yang telah berlaku :- 
- Pasukan gajah dan burung Ababil
- Api majusi terpadam
- Jin tidak dapat mencuri berita dari langit
- Bintang besar bercahaya
- Burung-burung memberi salam kepada Nabi
- Pokok Kurma yang kering menjadi segar
- Mata air kembali memancar
- Berhala bersujud
- Suara dari Kaabah
- Aminah tidak letih
- Tetamu agung penghuni syurga
- Aminah tidak merasa sakit

Api Majusi yang dikatakan tidak terpadam akhirnya terpadam

5. Imam Ibnu Katsir dalam Kitab Qishashul Anbiya menyatakan selama mengandungkan baginda, Aminah sering didatangi oleh nabi-nabi terdahulu sejak bulan Rejab hingga Rabiuawwal. 
Bulan ke-1 didatangi oleh Nabi Adam (as) yang berkata kepadanya bahwa anak yang dikandungnya itu akan menjadi pemimpin agama yang besar.
-Bulan ke-2 didatangi Nabi Idris (as) yang berkata kepadanya bahwa anak yang dikandungnya itu akan mendapat derajat paling tinggi di sisi Allah.
-Bulan ke-3 didatangi Nabi Nuh (as) yang berkata kepadanya bahwa anak yang dikandungnya itu akan memperoleh kemenangan dunia dan akhirat.
-Bulan ke-4 didatangi Nabi Ibrahim (as) yang berkata kepadanya bahwa anak yang dikandungnya itu akan memperoleh pangkat dan derajat yang besar di sisi Allah.
-Bulan ke-5 didatangi Nabi Ismail (as) yang berkata kepadanya bahwa anak yang dikandungnya itu akan memiliki kehebatan dan mu’jizat yang besar.
-Bulan ke-6 didatangi Nabi Musa (as) yang berkata kepadanya bahwa anak yang dikandungnya itu akan memperoleh derajat yang besar di sisi Allah.
-Bulan ke-7 didatangi Nabi Daud (as) yang berkata kepadanya bahwa anak yang dikandungnya itu akan memiliki Syafaat dan Telaga Kautsar.
-Bulan ke-8 didatangi Nabi Sulaiman (as) yang berkata kepadanya bahwa anak yang dikandungnya itu akan menjadi penutup para Nabi dan Rasul.
-Bulan ke-9 didatangi Nabi Isa (as) yang berkata kepadanya bahwa anak yang dikandungnya itu akan membawa Al-Qur’an yang diredhai.

6. Secara umumnya, ketika setiap bayi yang lahir akan menangis, tidak kurang ada yang diam. Berlainan dengan peristiwa saat baginda dilahirkan. Semasa baginda dilahirkan, baginda tidak menangis tetapi hanya bersin. Baginda juga dilahirkan dalam keadaan tersungkur sujud ke bumi sebagai petanda bahawa baginda sujud kepada Allah. Keadaan rumah baginda menjadi terang benderang dilimpahi cahaya, manakala api sembahan Majusi dan Rom dan Parsi terpadam. Melihat kepada semua peristiwa ini, betapa tinggi darjat yang Tuhan kurniakan kepada baginda. Dengan terjaga benih, dilindungi sepanjang dalam kandungan hingga lahir ke dunia. 

7. Perbezaan antara baginda dan kita, dilahirkan ke dunia dengan kesusahan 'ibu' yang mengandung. Betapa kita menyusahakan ibu-ibu bermula dengan hamil, mengandung hingga lahir ke dunia. Jika ditanya cerita kepada ibu-ibu, pasti boleh menangis mendengarnya. Dengan bayi yang sering tendang-menendang, mahukan makanan yang pelik-pelik, menanggung kandungan selama 9 bulan dan sakit ketika melahirkan anak. Bukan sahaja ibu-ibu, malah bapa-bapa juga penat melayan kemahuan ibu mengandung. Ada yang dengar cerita, hendak makan selipar. Namun, kerana rezeki anak, ditahan sahaja dan dianggap sebagai ujian. 

Ibu mengandung yang inginkan anaknya sentiasa Soleh

8. Kita tahu baginda lahir dengan penuh rahmat untuk seluruh alam. Bukan setakat manusia, haiwan dan alam juga gembira menyambut kelahiran baginda. Sudah tidak sakitkan bonda, menjadi pemimpin agung pula dan maksum. Namun tidak pernah rasa riak, malah terus-terusan memohon ampun daripada Tuhan dan selalu menangis tentang umatnya. Tetapi, mengapa kita masih lupa akan susah bonda lahirkan kita? Kerap berdosa dan menyakitkan hati mereka. Sombong dan ego kononnya diri sentiasa hebat. Walaupun tidak semua, tetapi masih ada kekurangan dalam diri manusia. 

9. Kesimpulanya, manusia adalah ciptaan Tuhan yang terbaik dan Nabi Muhammad adalah manusia agung. Insan yang maksum dan sentiasa tunduk kepada Tuhannya. Kita perlu mengakui seperti mana Tuhan mengangkat darjat baginda. Kita perlu kerap memuhasabah diri sebagai insan yang tidak pernah terlepas daripada kesilapan samaada yang nyata mahupun tersembunyi. Sentiasa mengingati baginda dengan mengamalkan sunnah dan sentiasa berselawat ke atas baginda. InsyAllah, Baginda akan memberi syafaat kepada kita kelak di Akhirat Sana. InsyAllah. 

Sekian, Terima Kasih. 

Selawat ke atas nabi yang dianjurkan dan diamalkan

Rujukan : 
1. https://ms.wikipedia.org/wiki/Nabi_Muhammad_SAW
2. http://portalsatu.com/read/oase/-3727
3. http://fathiqassam.weebly.com/peristiwa-kelahiran-nabi-muhammad.html
4. https://johneox.wordpress.com/misteri-kematian-abdullah-ayahanda-rasulullah-saw/
5. http://jogja.tribunnews.com/2018/11/19/sejarah-dan-peristiwa-penting-kelahiran-nabi-muhammad-yang-diperingati-melalui-maulid-nabi
6. http://www.liputanbmi.com/baca/922/sejarah-singkat-kelahiran-nabi-muhammad-saw

Comments

Popular Posts