Cerita Peperiksaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

1. Tanggal 29November 2018, hari yang mendebarkan bagi guru-guru sekolah rendah seluruh Malaysia. Pengumuman keputusan UPSR menjadi topik hangat sejak beberapa hari yuang lalu, hari ini terjawab semua persoalannya. Bagi kami, ia seperti biasa, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu, tiada debaran. tidur lena, makan senang hati. Sekolah yang kurang murid kerap menjadi Target pihak pegawai kerana keputusan yang kurang memuaskan. Tidak kurang menjadi sekolah fokus peringkat jabatan. Cerita-cerita kurang enak sering kedengaran dan sampai kepada kami.

Murid dan ibubapa datang mengambil slip UPSR

2. Selama mengajar di sini, tahun ini merupakan tahun terbaik UPSR kali ini. 5 daripada 6 orang calon mendapat lulus 100%. Peningkatan sebanyak 50% berbanding tahun lalu adalah sesuatu diluar jangkaan. Walaubagaimanapun, kami sering menitip rasa syukur dan redha menerima ada sahaja ketentuan. Guru-guru telah mengajar sehabis baik, murid-murid telah menjawab semampu daya. Jadi, tidak perlu sesiapa mempertikaikan apa yang guru buat di sekolah. Sangat tidak berasas sekadar berkata namun tidak berhadapan dalam situasi sebenar.

3. Meneliti murid adalah perkara utama dalam model ADDIE. Menganalisis latar bukan sekadar markah tetapi tahap emosi, mental, motivasi dan lain-lain. Analisis terhadap markah semata-mata, akan menyebabkan guru mengabaikan aspek kemanusiaan dalam pengajaran. Murid sentiasa ditekan, peluang bercakap yang minimum, menyebabkan mereka tidak mampu mencapai target kita.  Melalui pendekatan yang lebih humanis, mengikut peredaran semasa, guru lebih disaranakan untuk melaksanakannya. Tegas dan garang harus bertempat dan mendalami jiwa murid seperti seorang rakan. Merendahkan tahap mata kita kepada tahap mata murid agar kita dapat mendalami jiwanya.

Taklimat keputusan UPSR bersama guru dan ibubapa

4. Ibubapa adalah individu yang sebenarnya paling hampir dengan anak-anak. Jika kita membuat perkiraan masa, guru hanya menggunakan 6 hingga 7 jam masa di sekolahj dan selebihnya di rumah. Kebanyakan ibubapa dari sosioekonomi yang rendah, memaksa mereka untuk bekerja lebih masa bagi menampung keperluan keluarga. Situasi seperti ini tidak dapat dielakkan, namun apa yang boleh menjadi perangsang kepada mereka adalah kata-kata semangat dan motivasi, memantau kerja sekolah boleh dibuat sebagai satu usaha. Keperluan hubungan antara guru dan ibubapa sangat penting untuk mengetahui keperluan anak-anak walaupun secara informal. Dengan cara yang hemah, masalah pasti dapat diselesaikan.

5. Calon-calon kali ini adalah murid yang mudah mendengar kata. Apa yang diarah pasti dapat dibuat sehabis baik. Mungkin pada awal persekolahan, ada masalah masing-masing, tetapi pada akhirnya, ia dapat diatas oleh pihak sekolah. Kerap juga ingatkan mereka supaya menjaga hubungan antara guru dan murid kerana bila ilmu tidak diredhai, sudah pasti jadi masalah dikemudian hari. Perkara ini kerap dan sering berlaku, perkara yang tidak disangka-sangka ketika keputusan dikeluarkan. Pasti kita pernah dengar murid yang tidak pernah lulus, tapi akhirnya lulus dalam peperiksaan besar dan sebaliknya. 

Mengambil slip UPSR 

6. Perkara ini telah diamalkan diperingkat universiti di mana setiap pelajar akan mempunyai pensyarah pembimbing. Pelajar akan berhubung dengan beliau bagi mendapatkan nasihat tentang pengajian di sini. Saat yang paling getir adalah ketika membuat kertas kajian. Amat penting untuk kerap berjumpa supaya kertas kajian kita tidak terkeluar dari topik kajian, keperluan dan metodologinya. Apabila nasihat diberi dan dituruti, sudah tentu hasilnya menepati keperluan. Pasti dapat hasil yang baik.

7. Pendidikan masa kini tidak sahaja tertumpu kepada kandungan, teori atau pengetahuan matapelajaran. Menerapkan elemen-elemen 'softskill' juga penting bagi menyediakan murid ke arah pendidikan 4.0. Demi menyahut tujuan tersebut, murid-murid belajar secara pemusatan murid, kerja kumpulan, membentang dalam bilik darjah. Secara tidak langsung, mereka lebih yakin untuk berhadapan dikhalayak ramai. Kemahiran komputasional juga dilaksanakan melalui VLE. Dengan mempersiapkan kemahiran-kemahiran ini, menunjukkan pentingnya 'softskill' berbanding teori yang kerap diajar, ia memberikan kelebihan kepada mereka pada masa akan datang. 

Sekian, terima kasih. 

Comments

Popular Posts