Cerita tentang VLE
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
1. Pelaksanaan pendidikan digital telah dimukana sejak 5 tahun yang lalu. Pelaksanaannya mengubah senario pendidikan sekolah tidak kira pada peringkat rendah mahupun menengah. Platform pendidikan digital yang terkenal adalah Frog VLE yang dibiayai oleh kementerian pendidikan. Sekolah-sekolah yang mempunyai coverage 4G akan menerima pelbagai peralatan berasaskan internet seperti Netbook, Chromebook atau Thin Client. Begitu juga pembekal internet iaitu syarikat YTL membekalkan 4 modem untuk kegunaan sekolah. Disamping itu, guru-guru turut dibekalkan dengan telefon bimbit Yes Altitute yang mempunyai aplikasi merentas VLE memudahkan guru melaksanakan aktiviti pengajaran dalam halaman maya.
2. Tidak cukup dengan persediaan fizikal, sejak mula pelaksanaannya guru-guru telah diberi tunjuk ajar tentang tatacara pelaksanaan VLE. Selain itu, pihak BTP dan PKG turut menganjurkan kursus-kursus VLE supaya pengetahuan terhadapnya lebih kukuh dan pelaksanaanya lebih lancar mengikut keperluan KPM. Dalam kalangan guru-guru, terdapat guru yang menjadi guru advokasi yang berfungsi sebagai tenaga pengajar untuk guru-guru lain. Walaupun tidak jelas asal-usulnya, ia jelas merupakan usaha bagi memastikan pelaksanaan VLE di sekolah-sekolah berjalan dengan lancar. Persediaan prasarana yang lengkap ditambah support daripada pihak tenaga pengajar, menunjukkan agenda ini sangat dipandang serius oleh kementerian.
![]() |
| Platfrom VLE yang terkenal di dunia |
3. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, dalam anjakan ketujuh telah menyatakan usaha memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara. Jika dilihat dari elemen-elemen dalam anjakan tersebut, sebahagian besar telah dilaksanakan. Namun, mengapa masih ada pemantauan daripada pihak KPM terhadap penggunaan VLE? Hal ini kerana dalam kajian KPM tahun 2010, 80% guru menggunakan ICT dalam PdP kurang 1 jam dalam jangka masa seminggu. Akibat daripada perkara ini, guru-guru sering dimomok-momokan supaya menggunakan VLE dalam PdP tidak mengira caranya. Janji mencapai KPI mingguan.
4. Pada peringkat sekolah, guru ICT adalah guru yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ICT sekolah. Guru ICT menjadi pakar rujuk di sekolah apabila berkaitan dengan ICT tidak kira masalah device, talian internet atau urus tadbir ICT sekolah. Apa pula yang dilakukan oleg guru bila berkaitan dengan VLE ini? Yang paling utama adalah mendaftarkan murid-murid yang berada di sekolah tersebut. Dengan memastikan setiap warga sekolah mempunyai id dan kata laluan, ia sudah menyelesaikan perkara asas bagi VLE. Seterusnya mempromosi VLE, kebiasaannya guru akan memaparkan senarai nama dan id dalam bilik ICT atau menghebahkan gambar dalam media sosial. Inisiatif lain yang boleh dilakukan ialah mewujudkan kad VLE dan diserahkan kepada murid, guru dan ibubapa supaya lebih mudah untuk dirujuk.
![]() |
| Kad VLE untuk murid, ibubapa dan murid |
5. Masalah yang paling kerap disuarakan oleh guru-guru, talin internet yang perlahan apabila komputer diakses pada masa yang sama. Masa induksi yang digunakan untuk memperkenalkan topik pengajaran telah digunakan untuk menunggu paparan VLE muncul. Kadang-kala, bahan yang disediakan tidak dpaat digunakan secara keseluruhan. Suara-suara ini telah dipertimbang dan pihak pengawai mencadangkan agar menggunakan VLE untuk set induksi sahaja dengan memaparkan video secara muat naik atau link terus ke laman Youtube. Amalan ini adalah salah satu cadangan, tetapi adakah kita puas berbuat demikian sahaja?
6. Konsep VLE adalah seperti sebuah rumah yang kosong tetapi disediakan pelbagai kelengkapan yang membantu guru untuk menghias. Ia memerlukan perancangan untuk menghias halaman dengan cara yang berbeza. Ada yang memilih untuk menggunakan peralatan sedia ada, ada yang memilih untuk menghubungkan ke halaman web yang lain. Bagi mengatasi masalah talian internet yang perlahan, apa yang boleh dibuat adalah menghubungkan VLE dengan laman web lain ke dalamnya. Laman web yang terkenal adalah Zoom-A. Ia boleh diakses oleh mana-mana murid dan guru, tidak kira masa dan tempatnya melalui VLE. Secara tidak langsung, berlaku kepelbagaian dalam pengajaran. Mungkin bermula satu atau dua, tetapi dengan pelbagai tambahan ia lebih baik.
![]() |
| Laman web Zoom A untuk digunakan dalam PdP |
7. VLE boleh menjadi satu medan baharu yang harus diterokai oleh guru-guru. Bagi guru yang mengambil berat aspirasi ini, pelbagai aktiviti dan cara yang dilaksankan bagi memastikan tujuan pengajaran tercapai. Penerokaaan dan cuba jaya oleh guru-guru akan membuahkan hasil pada penghujung hari. Walaubagaimanapun, dalam keterujaan melakukan itu-ini, guru-guru advokasi melakukan sesuatu tanpa rujukan ilmiah yang menyebabkan isi kandungan yang disediakan tidak mengikut keperluan latar belakang murid-murid. Oleh itu, daya cipta guru sendiri khususnya guru matapelajaran amat diperlukan kerana guru yang mengetahui keperluan murid.
8. Untuk mengukur kejayaan projek ini, tidak diketahui cara penilaiannya terhadap sekolah. Adakah melalui aktiviti murid? Kadar penggunaan VLE? Peratus penggunaan murid? Semua persoalan ini sering menjadi persoalan setiap guru. Di Johor sahaja melalui halaman web Yes, hanya 3 sekolah yang mendapat pengiktirafan. Apakah usaha yang dilakukan oleh pihak syarikat dalam membantu sekolah-sekolah lain? Ia seolah-olah perkara yang tidak patut berlaku dikala projek ini telah menjejak 5 tahun usianya. Perkara ini perlu diperhalusi oleh semua pihak memandangkan projek ini melibatkan perbelanjaan yang tinggi.
| 3 Sekolah seluruh Johor dalam senarai VLE |
9. Kesimpulannya, pendidikan digital dengan memperkenalkan VLE kepada warga pendidik adalah usaha menaik taraf mutu pendidikan di Malaysia. Menyediakan platform atas talian membolehkan kepelbagaian sumber yang boleh diguna pakai oleh guru-guru dalam melaksanakan PdP. Usaha penerokaan VLE dengan lebih mendalam adalah perlu bagi memastikan penggunaannya bersifat semasa. Kesediaan guru dalam penggunaan amat penting agar kita dapat melaksanakan tugas tanpa merasa beban KPI yang ditetapkan. Ia bukan cermin terhadap kualiti pengajaran guru, ia adalah alat untuk mencapai objektif pembelajaran murid.
Sekian, terima kasih.




Comments
Post a Comment